Bentuk Umum Hadith



Dari segi hakikatnya terbahagi kepada 3 bentuk :

1. Hadith Qawli : Iaitu sabda dan kata-kata yang keluar daripada mulut Nabi s.a.w selain daripada al-Quran. Seperti sabdanya :

Terjemahan :
Sesungguhnya sesuatu amalan itu berdasarkan niat. (al bukhari & muslim).

Jenis ini merupakan yang paling banyak didapati. Semuanya merupakan perkataan daripada Rasulullah s.a.w yang ditujukan kepada manusia terutamanya kepada yang beriman dan menjelaskan apa yang diperlukan oleh mereka.

2.Hadith Fi`li : iaitu apa yang datang daripada Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan oleh sahabatnya dalam perkara perbuatan, tingkah laku,perundangan dan sebagainya. Contohnya, cara baginda beribadat, seperti solat, haji dan lain-lain. Termasuk juga apa yang diberitahu oleh isterinya mengenai amalan dan perbuatan baginda seperti perbuatannya mencium isterinya sedangkan baginda berpuasa .(al bukhari & muslim).

3. Hadis Taqriri : ialah perlakuan Rasulullah s.a.w sama ada secara terus terang bersetuju dengan apa yang dilakukan oleh sahabatnya atau secara diam dan tidak menampak tanda-tanda bantahan terhadap perbuatan tersebut. Contohnya :

Ibn `Umar meriwayatkan yang Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami semasa kepulangan kami dari Peperangan Ahzab. "Jangan sesiapapun di kalangan kamu bersolat Asar kecuali di perkampungan Bani Qurayzah." (al-bukhari & muslim) .Waktu asar masuk semasa mereka dalam perjalanan. Para sahabat yang melihat larangan itu dalam bentuk asal, mereka tidak bersolat kecuali setelah sampai di perkampungan  Bani Qurayzah walaupun waktunya telah luput. Sebahagian sahabat memahami yang larangan tersebut bertujuan untuk mendorong supaya bersegera dan tidak berlengah, lalu mereka solat asar dalam waktunya dan semasa dalam perjalan. Setelah diberitahu kepada Rasulullah s.a.w, baginda memperakui tindakan yang diambil oleh kedua-dua golongan tersebut.

Contoh lain : Perakuan baginda terhadap orang Habsyi yang memperlihatkan latihan perang di masjid, (al bukhari) perakuannya terhadap Aishah yang bermain dengan patung permainan (al bukhari) perakuan baginda terhadap Khalid al-Walid yang memakan dab yang diletakkan bersama juadahnya (al-bukhari & muslim) dan apa yang diriwayatkan oleh  Abdullah bin Umar katanya : Kami berkata sedangkan Rasulullah s.a.w masih hidup dan orang yang paling afdal selepasnya adalah Abu Bakr, Umar dan Uthman, Rasulullah mendengarnya dan tidak membantah terhadap (kata-kata) kami itu. (al bukhari & abu dawud).

Di segi statusnya, hadith terbahagi kepada beberapa bahagian dengan melihat beberapa aspek yang telah digariskan oleh para muhaddithin. Di mana mereka telah melihat hadith itu daripada beberapa sudut, seperti jalan @ thuruq al-hadith, sudut kekuatan, dan kelemahan hadith, kesudahan sanad satu-satu hadith dan lain lain. Dari sinilah lahirnya bahagian dan klasifikasi hadith.

-Ulum Al-Hadith-

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...