Gay Ancam Kehidupan Fitrah Manusia


Gay Ancam Kehidupan Fitrah Manusia
Mohamad A'sim bin IsmailPegawai Penyelidik 
02/09/2011 | Utusan Malaysia

sumber :
INSTITUTE OF ISLAMIC UNDERSTANDING MALAYSIA (IKIM)



Isu tentang seorang paderi gay berasal dari Malaysia ingin membuat satu resepsi perkahwinan sejenis di tanahair setelah melangsungkan perkahwinan dengan pasangan beliau di New York, Amerika Syarikat menjadi bualan khalayak ramai. Apa yang menarik resepsi perkahwinan sejenis ini ingin dilakukan dalam negara Malaysia yang majoriti rakyatnya adalah Muslim, dalam masyarakat majmuk yang mengamalkan aliran agama, budaya yang menolak gay apatah lagi perkahwinan sejenis. Walaupun perkara ini melibatkan seorang yang bukan Muslim tetapi kegairahannya untuk menonjolkan kehidupan gay beliau secara terang-terangan dalam kehidupan masyarakat perlu dipandang serius oleh kita sebagai umat Islam. Ini kerana penerimaan secara terbuka pengikutnya di Malaysia sudah tentu memberi kesan secara langsung atau tidak kepada umat Islam di tanahair. Dengan pelbagai hujah seperti kerana kasih sayang, keadilan, toleransi, hak asasi manusia yang ditafsir secara melencong, golongan ini boleh mempengaruhi ramai di kalangan umat Islam yang boleh bersimpati, bahkan terjebak ke dalam gejala negatif ini serta bangga dengan perlakuan mereka.




Kita perlu memahami bahawa kehidupan dan perkahwinan gay sendiri merupakan satu aliran minoriti di Barat dan bukan menjadi dokongan masyarakat majoriti mereka. Bahkan dalam tahun 1988 Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Bill Clinton telah menandatangani satu Akta Perlindungan Perkahwinan yang mentakrifkan perkahwinan di sisi undang-undang ialah ikatan yang sah di antara lelaki dan wanita sebagai suami dan isteri. Di negara Amerika Syarikat iaitu sebuah negara republik berperlembagaan persekutuan yang mengandungi 50 buah negeri, hanya sepuluh buah negeri sahaja yang tidak menghalang perkahwinan sejenis berbanding negeri-negeri baki yang lain.

Di Malaysia, perundangan negara telah jelas termaktub bahawa hubungan gay atau homoseks adalah satu kesalahan samada di sisi perundangan sivil atau pun syariah. Dalam perundangan sivil kesalahan ini adalah mengikut Seksyen 377A iaitu persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii melalui dubur. Hukumannya ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat. Dalam perundangan syariah seperti Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan), kesalahan ini adalah di bawah Seksyen 25 liwat iaitu mana-mana orang lelaki yang melakukan liwat adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.

Dalam aspek melangsungkan perkahwinan bagi bukan Islam di Malaysia, mereka tertakluk kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976. Sebarang perkahwinan yang diupacarakan tetapi tidak mengikut di bawah akta ini adalah satu perkahwinan yang tidak sah. Perlu dimaklumi bahawa upacara perkahwinan yang disebut di bawah akta ini ialah upacara perkahwinan yang sah mengikut undang-undang, agama, adat atau kelaziman masyarakat. Jadi perkahwinan sejenis bukan daripada norma dan adat masyarakat Malaysia.

Bagi umat Islam, ulama telah mendefinisikan perkahwinan dengan jelas. Perkahwinan dari segi bahasa bermaksud berkumpul, bercampur atau bercantum. Pada maksud syarak pula ialah akad yang menghalalkan persetubuhan atau hubungan kelamin di antara lelaki dan perempuan pada lafaz yang diucapkan yang membawa maksud nikah dengan mengikut peraturan serta syarat yang telah ditetapkan oleh syarak. Umat Islam yang ingin berkahwin perlu mengikut undang-undang Syariah dan bukan Undang-undang Sivil. Undang-undang Syariah diperjelaskan dalam Enakmen Keluarga Islam Negeri-negeri.








Perkahwinan dalam Islam merupakan satu institusi yang memenuhi keperluan fitrah manusia. Berkahwin merupakan satu Sunnah. Nabi SAW sendiri bersabda "Nikah itu adalah sunnahku, maka sesiapa yang benci sunnahku maka sesungguhnya ia bukan daripada golonganku". (Riwayat Ibnu Majah).

Tujuan asas perkahwinan mengikut syariah ialah untuk menghalalkan perhubungan kelamin di antara seorang lelaki dan wanita. Ia juga bertujuan untuk menghasilkan zuriat manusia demi meramaikan umat. Sabda Nabi SAW "Hendaklah kamu berkahwin. Sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang banyak di hadapan umat-umat yang lain pada hari kiamat". (Riwayat al-Baihaqi).

Jika kita lihat kepada proses penambahan umat manusia, tidak dapat tidak ia memerlukan percantuman sperma lelaki dan wanita. Maka perkahwinan sejenis golongan gay terang-terangan telah menolak fitrah kejadian manusia dengan menghalang proses kesinambungan zuriat manusia.

Apabila kita melihat kepada Syariah Islam itu sendiri, amalan gay atau homoseks sudah pun berlaku khasnya pada zaman nabi Luth a.s. Ia merupakan perkara haram dan suatu yang dikeji. Dalam al-Quran Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

Patutkah kamu mendatangi orang lelaki (untuk memuaskan nafsu syahwat kamu)? Dan kamu memotong jalan lalu-lalang (untuk tujuan jahat kamu)? Dan kamu pula melakukan perbuatan yang mungkar di tempat-tempat perhimpunan kamu? Maka kaumnya tidak menjawab selain daripada berkata (secara mengejek-ejek): Datangkanlah kepada kami azab daripada Allah (yang Engkau janjikan itu) jika betul engkau dari orang-orang yang benar. Nabi Luth berdoa dengan berkata:"Wahai Tuhanku! tolonglah akan daku terhadap kaum yang melakukan kerosakan (menderhaka)!" (Al-Ankabut: 29-30).

Umat nabi Luth a.s. yang mendatangi kaum lelaki sejenis akhirnya ditimpa bala bencana yang amat dahsyat akibat perbuatan mereka.




                     
Oleh itu usaha yang boleh menonjolkan gay di negara kita atas sebarang alasan atau yang dicetuskan oleh golongan yang mengaku sebagai cendiakawan sekalipun maka masyarakat perlu menongkah aliran ini secara bersungguh-sungguh kerana sistem gay yang songang itu bukan daripada budaya dan sistem nilai hidup masyarakat majmuk negara kita. Bahkan gay melanggar hukum Syarak yang memelihara fitrah kejadian manusia. 

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...