Tazkirah : siri khutbah jumaat.

Tazkirah alfikirummat.blogspot.com

Khutbah Jumaat

Di antara sifat orang-orang yang beriman dan mendapat petunjuk daripada al-Quran ialah percaya kepada perkara-perkara ghaib. Firman Allah dari Surah al-Baqarah Ayat 2 yang bermaksud: "Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara yang ghaib, dan mendirikan sembahyang serta membelanjakan sebahagian dari rezeki yang kami kurniakan kepada mereka."

Muslimin sidang Jumaat sekalian!

Di antara perkara ghaib yang wajib ke atas setiap orang yang beriman yakin dan percaya kepadanya ialah adanya dosa dan pahala yang dijanjikan oleh Allah. Kita juga sudah maklum bahawa pahala ialah ganjaran daripada Allah bagi setiap muslim yang patuh kepada perintah-Nya dengan melakukannya menurut cara yang telah diperintahnya dan ditentukan oleh Allah secara ikhlas.

Dosa pula akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang melanggar perintah Allah termasuk melakukan perintah Allah tidak mengikut cara yang telah ditetapkan olehnya. Maka setiap orang yang beriman hendaklah melakukan ibadat dan semua suruhan Allah dengan ikhlas di samping menjaga tata tertib yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam dan meninggalkan segala larangannya. Semuanya hendaklah dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah.

Muslimin sekalian!

Akhir-akhir ini ada usaha untuk memesongkan aqidah umat Islam dengan cara halus dan membahayakan apabila terdengar suara-suara yang mengajak umat Islam agar tidak lagi menghiraukan dosa dan pahala. Kata mereka:
"Jika berbuat kebajikan, belum pasti dapat pahala." Kata mereka lagi: "Jangan
merasuah umat Islam dengan pahala." Sedangkan pahala yang disebut itu memang sudah dijanjikan oleh Allah di dalam al-Quran dan oleh Rasulullah S.A.W. Allah menjanjikan pahala kepada sesiapa yang taat kepadanya sebagaimana firman-Nya dari Surah al-Maidah Ayat 9 yang bermaksud: "Dan Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh bahawa bagi mereka keampunan dan pahala yang besar."

Oleh itu, yang mendorong kita mengerjakan sembahyang fardhu secara berjemaah, adalah kerana yakin dengan pahala 27 kali ganda berbanding dengan sembahyang seorang diri sebagaimana yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W. kepada kita.

Yang mendorong kita menafkahkan harta dan kekayaan pada jalan Allah adalah untuk mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah kerana janji Allah di dalam al-Quran dari Surah al-Baqarah Ayat 261 yang bermaksud:
"Perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada setiap tangkainya ada seratus biji dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan Allah amat luas (rahmat) kurnianya, lagi meliputi ilmu pengetahuannya."

Kemudian, yang mendorong kita berjihad menegakkan agama Allah dan syariatnya agar tegak memerintah dan mentadbir bumi ini dengan keadilan dan keamanan, adalah untuk mendapat ganjaran yang tidak terkira daripada Allah sebagaimana firman-Nya di dalam al-Quran dari Surah As-Saff Ayat 10-12 yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, mahukah aku tunjukkan kepada kamu satu perniagaan yang menyelamatkan kamu daripada seksaan
yang pedih (dalam neraka)?

Iaitu (dengan) kamu beriman kepada Allah dan Rasulnya, dan kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta kamu dan diri kamu. Itulah yang paling baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. Nescaya dia (Allah) mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adnin. Itulah kemenangan yang besar."

Muslimin sekalian,

Di antara banyak janji pahala yang datang daripada Allah dan Rasulnya seperti janji pahala daripada ibadat sembahyang, puasa, zakat, haji dan lain-lain, yang paling tidak disenangi oleh sesetengah mereka yang tidak faham Islam dan perjuangan Islam ialah janji pahala bagi orang-orang yang berjihad pada jalan Allah. Kita sebagai orang-orang Islam perlu menyedari bahawa sebesar-besar perjuangan di atas muka bumi ini ialah perjuangan mengembangkan
agama Allah, iaitu Islam, supaya ianya tegak memerintah dan semua manusia tunduk di bawah kekuasaannya. Ia adalah satu cabang jihad, dan cabang inilah yang besar sekali ganjarannya.

Sejarah Islam bermula daripada sejarah para Rasul dan sahabat yang penuh dengan kisah pertentangan dakwah Islam dengan pemerintah dan kuasa kerajaan jahiliyah, kufur dan mengaku berkuasa seperti tuhan.
Nabi Ibrahim a.s. berhadapan dengan Raja Namrud, Nabi Musa berhadapan dengan Raja
Firaun dan nabi kita Muhammad S.A.W. berhadapan dengan pemimpin-pemimpin jahiliyah Makkah. Bukan sahaja Rasul-rasul tersebut menyeru umat mereka menyembah Allah dan beribadat hanya kepadanya, raja-raja dan pemerintah pada masa itu juga diajak tunduk kepada peraturan Allah.
Akibatnya Nabi Ibrahim dibakar di dalam api yang bernyala, Nabi Musa dan kaumnya
lari meninggalkan negeri Mesir yang diperintah oleh Firaun dan Nabi Muhammad S.A.W. terpaksa berhijrah meninggalkan negeri Makkah menuju ke Madinah.

Sebenarnya ajaran Islam terkandung di dalam kalimah "Lailahaillallah" (tidak ada Tuhan melainkan Allah), di dalam erti kata yang sebenarnya: bererti tunduk dan patuh hanya kepada Allah. Oleh itu, apabila kalimah "Lailahaillallah" dibaca oleh Rasulullah S.A.W. kepada seorang Arab Badwi yang fasih berbahasa Arab dan mengetahui selok belok maksudnya, telah berkata kepada Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: "Ini satu kalimah yang tidak disenangi oleh
sekalian raja-raja, engkau akan diperangi oleh bangsa Arab dan bukan Arab."

Muslimin sekalian!

Oleh itu mereka yang tidak suka kepada perkembangan Islam, dan tidak suka Islam diamalkan secara menyeluruh, telah menyelar orang-orang yang mahu mengajak umat Islam kembali semula kepada ajaran Islam di dalam erti kata yang sebenar. Berbagai tekanan dan halangan serta tindakan undang-undang dilakukan untuk menghalang perkembangan dakwah Islam, namun perjuangan Islam terus maju ke hadapan dan tetap ada orang-orang yang memperjuangkannya. Sabda Rasulullah S.A.W. dari Riwayat Abu Hurairah yang bermaksud: "Akan sentiasa ada satu golongan daripada umatku yang tetap berada di atas kebenaran. Mereka tidak berjaya dihalang oleh orang-orang yang menentang mereka, sehingga datang hukuman daripada Allah."

Semakin ditekan, perjuangan Islam semakin subur. Semakin dihalang, pejuang Islam semakin yakin kepada janji pahala dan ganjaran syurga. Maka usaha seterusnya daripada mereka yang tidak suka kepada perjuangan Islam ialah menghalang umat Islam daripada menyebut pahala dan janji Allah, kerana makin dibicarakan tentang pahala, makin bersemangat orang-orang yang mahu kepada Islam. Oleh itu, mereka yang cuba menyekat kesedaran Islam, menaruh harapan, bahawa dengan menghalang daripada dibincangkan tentang pahala, nanti akan menyebabkan umat Islam malas untuk beramal dengan ajaran Islam, termasuklah pahala besar yang dijanjikan bagi sesiapa yang berjihad memperjuangkan Islam. Seterusnya dapat menanam benih-benih keraguan tentang satu perkara ghaib yang mampu mengembalikan semangat dan keyakinan di dalam hati umat Islam iaitu percaya kepada adanya dosa dan pahala, yang membawa kepada percaya adanya syurga dan neraka.

Marilah kita membenarkan semua janji Allah dan Rasulnya termasuklah janji pahala dan syurga, kita lebih yakin dan bersemangat serta beristiqamah berpegang dengan ajaran Islam.

Firman Allah dari Surah Al-Zalzalah ayat 7-8 yang bermaksud: "Dan sesiapa yang melakukan sebesar zarah yang halus daripada kebajikan, nescaya akan dilihatnya (pada hari akhirat), dan sesiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah yang halus daripada kejahatan nescaya akan dilihatnya juga (pada hari akhirat)."

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...